KENYATAAN AKHBAR
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR), MALAYSIA
BIL.17/2008
PAMERAN RANG DAFTAR PEMILIH TAMBAHAN
SUKU TAHUN KETIGA 2008
1. Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga (Julai hingga September) 2008, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima sebanyak 24,531 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 6,200 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR.
2. Selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Ketiga 2008 akan dipamerkan mulai 28 Oktober hingga 03 November 2008 di 985 tempat pameran di seluruh Negara seperti berikut:
2.1 Pejabat Pilihan Raya Negeri - 14 tempat
2.2 Pejabat Pos Berkomputer - 431 tempat
2.3 Kompleks/Pejabat Kerajaan - 100 tempat
2.4 Pejabat Daerah/Pejabat Tanah- 162 tempat
2.5 Majlis Daerah/Perbandaran - 44 tempat
2.6 Dewan Serbaguna/ Rukun
Tetangga/Balai Raya/Penghulu/
Dewan - 207 tempat
2.7 Lain-lain tempat - 27 tempat
____________
Jumlah - 985 tempat
____________
3. Sehubungan dengan itu, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi adalah dinasihatkan supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 yang dipamerkan itu. Dalam hal ini, mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B. Borang tuntutan tersebut hendaklah diserahkan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 itu dipamerkan.
4. Bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C. Borang bantahan itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 itu dipamerkan.
5. Selain daripada mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih. Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara, telah bersara daripada Angkatan Tentera/Polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya.
6. Di sini juga SPR ingin memaklumkan kepada umum untuk memohon kerjasama orang ramai mengenai perkara berikut:
6.1 Pembersihan Daftar Pemilih
SPR ingin memaklumkan bahawa dalam usaha untuk membersihkan daftar pemilih daripada senarai nama pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia, SPR memohon kerjasama mana-mana waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur waris-waris mereka yang telah meninggal dunia kepada SPR. Waris-waris bolehlah menghantar salinan tersebut secara pos atau faks ataupun datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri ataupun ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.
6.2 Penyemakan Daftar Pemilih
Pemilih berdaftar adalah digalakkan untuk menyemak Daftar Pemilih Induk 2007 bagi tujuan membuat pembetulan ke atas apa-apa kesilapan pendataan dari segi ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina, nombor rumah pemilih dan sebagainya yang dilakukan oleh SPR secara tidak disengajakan, jika ada. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan pendataan, pemilih bolehlah membuat pembetulan dengan menghantarkan pembetulan tersebut ke alamat e-mel: info@spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.
6.3 Pemilih Bertukar Alamat
Bagi pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin mereka adalah digalakkan untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi yang lebih dekat dengan tempat kediaman masing-masing.
7. Jika mana-mana pihak ada apa-apa pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, sila hubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88856500 atau melalui Faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di http://www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008.
Sekian, terima kasih
(SABRI BIN SAID)
Pegawai Perhubungan Awam
b.p Setiausaha
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Semakan Daftar Pemilih Terbaru 2008
Cara Mengubati Penyakit Hati
· Istighfar dan zikrullah
· Solat taubat dan tahajjud
· Bacaan Al-Quran dan hadis
· Memaafkan kesalahan orang lain
· Bisikan kendiri yang positif (bersangka baik)
· Muraqabah (dekatkan diri dengan Allah swt)
· Berpuasa
· Ingat mati
· Kekalkan berwuduk
· Bersedekah
· Beri orang makan (spen kawan)
· Jaga makanan
· Berkawan dengan ulamak dan berkawan dengan orang-orang susah
‘Mengajar’ dan ‘Berdakwah’
Namun bagi saya, kadang-kadang memang timbul juga konflik apabila berbica topik mengajar dan berdakwah. Mungkin golongan alim ulamak seperti Tuan Guru Nik Aziz, Tuan Guru Hj Hadi, ust Nasruddin Tantawi, Imam Hassan Al-Banna serta golongan ilmuan yang sewaktu dengan tokoh-tokoh tadi tidak nampak sangat perbezaan antara dua perkataan ini. Apa yang menjadi masalah, terdapat sesetengah masyarakat sama ada mereka yang dekat dengan kita ataupun yang menjadi sasaran mad’u kita terfikir… ”Layakkah mereka mengajar saya?” “Layakkah mereka berjuang sedangkan ilmu kurang?”. Lalu, bagi saya sudah tentu keraguan tersebut menjadi suatu yang boleh melunturkan sedikit semangat untuk melangsungkan gerak-kerja Islam.
Mereka yang menginfakkan sebahagian daripada hidupnya untuk melakukan kerja dakwah, mestilah melalui teknik mengajar dan berdakwah. Tapi kadang-kadang tersekat apabila ada orang yang mengeluarkan kata-kata yang saya nyatakan tadi. Mungkin ada yang kata tidak perlulah ambil kisah. Tapi memang ada benarnya.
Layakkah saya mengajar manusia sedangkan diri ini sering juga melakukan hal-hal yang lagho? Bolehkah saya mengajar sedangkan terlibat dalam perjuangan ini pun kalau dinisbahkan antara ilmu dengan semangat, sudah tentu ‘semangat’ yang lebih? Layakkah…?
Lalu, cuba juga kuatkan semangat dan azam kembali. Teringat semula darjat kemuliaan antara orang yang menuntut ilmu dengan darjat orang yang berjuang pada sudut pandangan Qadhi Rabbul Jalil. Inilah janji-janji Allah bagi orang yang berjuang pada jalan-Nya. Syaratnya mudah, kesedaran jawapannya. Tidak juga ditetapkan kriteria tertentu seperti bagi yang mahu perjuangkan Islam mestilah berpengetahuan tinggi tentang agama, lahir daripada pendidikan Al-Azhar, Jordan dan sebagainya. Tiada. Firman Allah swt :
“Dan janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.” (Surah Ali-Imran:139)
Ust Fathi Yaakan menyebut juga dalam kitabnya, antara sifat orang-orang yang beriman antaranya berasa bangga dengan kebenaran dan kepercayaan kepada Allah swt. Janji Allah swt ini pasti menaikkan semula semangat yang hampir luntur tadi. Walaupun hakikatnya keraguan terhadap kami yang bukan daripada aliran agama ini tetap terus kedengaran. Oleh itu, pertanyaan pula buat mereka…
Kalau betul kamu tidak yakin saff organisasi Islam dianggotai oleh mereka yang bukan master dalam agama, mengapa kamu yang mendapat pendidikan dan kelulusan Azhar dan sebagainya tidak tampil menawarkan diri? Mengapa sekembalinya ke tanah air hanya duduk di kampung halaman sahaja? Mengapa menjadi penyokong sahaja dan bukannya pendokong? Salahkah kami yang mengisi kekosongan dalam perjuangan yang ditinggalkan oleh mereka yang difikirkan layak, mengambil ruang untuk mendapatkan janji-janji Allah? Salahkah kami yang tidak berjaya memujuk kamu untuk turut serta dalam kepimpinan meneruskan kerja ini?
Sekali lagi, kalau betul kamu risau saya ataupun kami yang cetek pengetahuan hukum-hukum agama kenapa tidak tampil sahaja menerajui kepimpinan? Saya cabar kamu untuk bersama kami dan mentarbiyah kami seadanya…saya cabar demi perjuangan Islam…. Sekali macam Dato Sri Anuar pulak daaa…
Saya tidak menolak hakikat siapalah kami jika dibandingkan dengan mereka yang menguasai ilmu agama ini. Yang menjadi perbezaannya, saya dan sahabat mahu berjuang, sangat minat berjuang untuk Islam. Tapi kata-kata Naqib (Ketua Pemuda Tawawi) juga yang selalu menjadi azimat. Kata beliau, orang yang mempunyai kesedaran untuk membela Islam dengan terlibat dalam apa-apa juga usaha melicinkan organisasi, mereka itu lebih mulia berbanding orang yang berilmu banyak tetapi tidak berjuang. Tambah beliau lagi, orang yang berada dalam organisasi Islam secara tidak langsung telah mentarbiyah diri mendalami ilmu agama (menuntut ilmu).
Justeru, perjuangan diteruskan juga. Bukan berniat pun untuk ‘mengajar’ tapi terpaksa juga untuk ‘berdakwah’. Dalam masa yang sama, kesedaran untuk menambah pengetahuan agama di samping mengurangkan melakukan perkara-perkara yang lagho tetap menjadi visi utama. Sahabatku dan diri saya, jangan berhenti daripada perjuangan ini walaupun apa pandangan mereka. Salam muwajahah silmiah.
Hari Esok Untuk Islam
Ramai di kalangan muslimin menyangkakan bahawa pada akhir zaman nanti akan berlakunya al fitan dan kerosakan di muka bumi. Mereka menyangka bahawa kekufuran berleluasa, kejahatan menguasai alam. Islam berada di dalam kemunduran dan penegak kebenaran dihina dan ditindas.
Sebenarnya ini merupakan satu tasawwur yang silap yang seharusnya diperbaiki. Kegelapan yang menimpa umat Islam kini tidak akan selama-lamanya. Fajar Islam akan menyinsing tidak lama lagi. Jahiliyah pasti akan runtuh di bawah kekuatan Islam. Islam akan sekali lagi menjadi pentadbir alam ini. Maka muslimin seharusnya merasa yakin dan tidak berputus asa dengan janji Allah bahawa Islam akan muncul mentadbir alam ini walaupun orang kafir cuba untuk menghapuskannya. Firman Allah Taala :
" Mereka cuba untuk memadam cahaya Allah dengan mulut-mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya Nya walaupun orang kafir tidak menyukai" (at Taubah: 32)
Sebenarnya sikap berputus asa dan keluh kesah terhadap suasana yang menimpa umat Islam kini merupakan sikap yang sepatutnya dikikis. Umat Islam seharusnya merasa optimis dengan kejayaan yang bakal dihadapi oleh Islam pada suatu hari nanti.
Apabila kita melihat sirah perjuangan Rasulullah s.a.w, Rasulullah sering memberikan khabar gembira kepada sahabat tentang kemenangan-kemenangan yang bakal diperolehi oleh muslimin. Di dalam peristiwa hijrah, semasa Rasulullah s.a.w berhijrah ke Madinah, baginda telah berjanji kepada Suraqah yang telah cuba untuk membunuh Nabi dengan menghadiahkan kalung Kisra raja Parsi kepada Suraqah. Walaupun pada masa itu Islam masih lagi diperingkat awal, namun Rasulullah mampu menjanjikan bahawa Islam akan mengalahkan kerajaan Parsi.
Begitu juga semasa di dalam peperangan al Ahzab, ketika mana Rasulullah cuba memecahkan batu untuk menggali Parit. Rasulullah telah menyatakan kepada para sahabat bahawa Islam akan menawan kota-kota Yaman, Rom dan Parsi. Sedangkan pada ketika ini umat Islam sedang berada di dalam kegetiran berhadapan dengan jumlah musuh yang begitu ramai, tetapi Rasulullah s.a.w. mampu menjanjikan kepada para sahabat tentang kemenangan yang bakal diperolehi oleh mereka.
Dengan keyakinan inilah para sahabat berjuang bersungguh-sungguh untuk menyebarkan Islam di muka bumi ini dan seterusnya melaksanakan janji-janji yang telah dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. kepada mereka.
Fajar menyinsing
Tanda-tanda awal telah kita lihat pada hari ini bahawa fajar Islam akan kembali bersinar tidak lama lagi. Kita melihat kebangkitan Islam telah mula bersinar di seluruh pelosok dunia. Umat Islam telah mula kembali kepercayaan mereka terhadap Islam. Dan musuh-musuh Islam telah mula bimbang dan khuatir dengan kebangkitan ini dengan menyebarkan dakyah bahawa golongan-golongan ini merupakan 'terrorist' dan 'fundamentalist'.
Kuasa-kuasa besar dunia semakin hari semakin hilang kekuatannya. Keruntuhan kerajaan Komunis Soviet Union dan kerajaan-kerajaan komunis yang lain merupakan satu petanda bahawa kekuasaan kekuatan musuh tidak akan selama-lamanya. Amerika Syarikat pada ketika ini telah mengalami masalah dalaman negara yang begitu teruk. Golongan remajanya yang bakal menjadi teraju kepemimpinan negara telah mengalami keruntuhan moral yang amat dahsyat. Amerika Syarikat yang mendabik dada kekuatan mereka sebenarnya merupakan negara yang menunggu saat-saat kehancuran seperti mana runtuhnya kerajaan komunis.
Ini merupakan bibit-bibit awal bahawa fajar Islam akan mula menyinsing dan akan menjadi penguasa alam ini. Kesedaran Islam telah mula tercerna di dalam hati-hati umat Islam. Pemuda-pemuda Islam di seluruh pelosok alam telah mula melaungkan slogan Islam. Kebangkitan Islam telah berlaku kepada umat Islam dalam bentuk fikri, akhlak, ekonomi dan jihad. Maka kita yakin bahawa Allah pasti akan bersama-sama mereka dalam menegakkan Dinul Islam ini.
Kekuatan yang dimiliki oleh Muslimin.
Sesungguhnya Muslimin mempunyai kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Penegakan Daulah Islam yang pertama di Madinah telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam hati umat Islam. Gerakan dan cara yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah menjadi panduan kepada Muslimin hari ini untuk menegakkan Islam kembali. Perlu diyakini bahawa marhalah dakwah dan cara yang dilakukan oleh Rasulullah itu merupakan 'Rabbani Taujih' (panduan dari Allah) yang diberikan kepada Rasulullah sehingga Islam tertegak dengan megahnya dimuka bumi ini. Maka dengan bekalan pengalaman ini, muslimin mengatur langkah dalam menegakkan Islam kembali di muka bumi ini.
Selain daripada itu, muslimin mempunyai kekuatan yang tidak boleh dipandang lekeh oleh manusia. Kita boleh simpulkan bahawa muslimin mempunyai tiga unsur kekuatan yang mampu menggugat kekuatan musuh.
Pertama: Kekuatan kuantiti.
Islam pada hari ini mempunyai bilangan penganut yang hampir suku penduduk dunia yang tersebar di seluruh benua di dunia. Sesungguhnya jumlah yang ramai ini merupakan antara aset utama dalam menegakkan Islam. Ianya merupakan satu nikmat yang seharusnya di syukuri. Sepertimana firman Allah swt
"Ingatlah, ketika kamu masih sedikit, kemudian kamu telah menjadi banyak…"(Al A'araf: 86).
Jamaluddin Al Afghani pernah berkata kepada rakyat India: "Jika bilangan kamu yang berjuta-juta ini semuanya menjadi lalat, nescaya kamu mampu untuk menghancurkan telinga Inggeris."
Kedua: Hasil Bumi.
Muslimin pada hari ini menetap di negara-negara yang amat kaya dengan hasil buminya. Negara yang yang kaya dengan minyak dan bahan galian yang lain serta tanah yang subur untuk pertanian. Semuanya ini merupakan kepunyaan muslimin.
Ketiga: Manhaj Rabbani.
Inilah kekuatan yang tidak ada pada manusia yang lain. Muslimin menyeru manusia kepada satu sistem yang mampu membawa keadilan dan kebahagiaan kepada alam sejagat. Sistem ciptaan manusia yang wujud pada hari ini sebenar telah membawa kepada kerosakan dan kesengsaraan kepada manusia. Manusia yang berfikir tidak akan sekali-kali menolak sistem Allah ini.
Oleh itu jelaslah kepada kita bahawa kelemahan umat Islam ini tidak akan selama-lama. Islam sekali lagi akan mencapai kejayaan dan menjadi pentadbir alam ini.
Sikap kita
Kita sebagai pejuang agama Allah ini seharusnya mempunyai sikap yang optimis dengan kejayaan yang bakal di hadapi oleh Islam. Kita tidak seharusnya bersifat putus asa dan keluh kesah dengan suasana dan penindasan musuh terhadap umat Islam. Malah kita yakin dengan janji-janji Allah bahawa Allah akan memenangkan agamanya walaupun dihalang oleh orang-orang kafir.
Dengan keyakinan ini bukan bermakna kita akan berdiam diri dan berpeluk tubuh dengan menunggu kemenangan yang dijanjikan oleh Allah. Tetapi dengan keyakinan ini, seharusnya kita mempergandakan amalan dan usaha kita dalam menegakkan agama Allah ini.
Janganlah umat mengimpikan kemenangan muslimin terhadap Yahudi sedangkan umat masih lagi berpecah belah, berselisihan dan pergaduhan. Janganlah umat berangan-angan dengan kemenangan sedangkan umat masih lagi bermalasan dan tidak bersungguh-sungguh.
Mustahil kemenangan diberikan kepada orang yang bermalasan dalam berhadapan dengan musuh yang berjuang bersungguh-sungguh menghancurkan Islam. Mustahil kemenangan diberikan kepada umat yang hanya meluangkan cebisan waktu untuk Islam dalam berhadapan dengan musuh yang meluangkan sepenuh waktu untuk meruntuhkan Islam. Maka cepat atau lewatnya kemenangan Islam adalah di bahu kita bersama yang akan dipersoalkan oleh Allah Ta'ala nanti.
Dan ingatlah kata-kata Saidina Umar kepada sahabatnya: " Impikanlah" Seorang pemuda berkata: " Aku mengimpikan sekiranya negeri ini dipenuhi dengan emas lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Seorang pemuda berkata: "Aku mengimpikan jika negeri ini dipenuhi dengan batu permata lalu aku infakkan pada jalan Allah." Omar berkata lagi: "Impikanlah". Mereka berkata: "Kami tidak tahu apa yang hendak dikatakan wahai Amirul Mukminin" Omarpun berkata: "Tetapi aku mengimpikan rijal seperti Abu Ubaidah bin al Jarrah, Muaz bin Jabal dan Salim, hamba Abu Huzaifah. Lalu aku meminta pertolongan dari mereka untuk meninggikan kalimah Allah".
Itulah sebenarnya modal utama untuk kembali memerintah dunia. Seorang pemuda lebih berharga dan bernilai dari seluruh isi dunia. Maka pemuda inilah yang akan berjuang sehingga tertegaknya Dinul Islam ini.
Salam muwajah silmiah.
Tulisan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna.
‘Hadiah’ Di Hari Kemenangan
Hasrat untuk mendengar ceramah yang disampaikan oleh YB Ust. Mujahid Yusuf Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar) di Madrasah Toyibah berjaya juga walaupun asalnya sudah tiada dalam tentatif. Mujurlah ada jugak senior yang berkelapangan bila saya ajak pergi selepas tunaikan solat isyak di masjid (biasalah, mahasiswa di sini sibuk2 belaka). Sebelum itu, diadakan majlis jamuan raya bersama MB seawal pukul 5 petang lagi.
Ceramah tadi yang disampaikan oleh al-fadhil ustaz benar-benar memberi pulangan yang memuaskan kepada para hadirin. Manakan tidak, pengisian yang diberikan sebenarnya ‘hadiah’ yang istimewa sempena raya kali ini. Untuk itu, saya ingin kongsikan beberapa perkara penting dan perlu sebagai pendokong gerakan Islam, alert akannya.
Menyentuh pengisian ceramah, al-fadhil ustaz mengingatkan kita mengenai krisis yang dialami baik yang berlaku di peringkat domestik ataupun dalam negara ini. Isu pertama berkenaan krisis ekonomi yang melanda negara Amerika kini yang telah memberi kesan terhadap ekonomi dunia secara keseluruhannya. Baru-baru ini Presidennya telah menggunakan harta perbendaharaan kerajaan yang bernilai hampir 3 trilion ringgit Malaysia semata-mata untuk mencairkan mata wang bagi menyelamatkan ekonomi Amerika, menunjukkan negara yang dianggap ‘polis dunia’ berada dalam keadaan yang sungguh gawat. Walau bagaimanapun, ia sedikitpun tidak memberi kesan terhadap ekonomi dunia yang semakin menjunam.
Sebelum ini, dengan kekuatan hartalah Amerika berjaya meluaskan empayar demokrasinya ke seluruh dunia, termasuk juga negara-negara Islam. Dengan harta itu jugalah ekonomi dunia dikuasai dan menyekat perkembangan negara Islam. Melalui kekuatan tentera pula, umat Islam ditangkap, dibunuh, disiksa atas dasar memerangi keganasan. Namun, putaran roda dunia ini mengakibatkan negara Amerika yang dahulunya gah kini berada dalam fasa pertama menemui kehancuran berdasarkan ramalan pakar pengkaji ekonomi dunia.
Justeru, kita perlu insaf bahawa kekuatan di dunia ini bukanlah ditentukan berapa banyak harta ataupun bilangan tentera yang dimiliki. Tetapi, kekuatan sebenarnya hanya terdapat pada Islam. Islam akan dijaga Allah swt walau sehebat mana pun penindasan yang berlaku terhadap umat Islam sekarang. Munajat umat yang ditindas oleh Amerika akhirnya menjadi senjata utama yang mengakibatkan negara itu berada pada zaman kejatuhan. Inilah kuasa Allah swt. Dia berhak memuliakan dan menjatuhkan siapa sahaja atau kerajaan apa sekalipun yang berkuasa di dunia ini. Firman Allah swt yang dijadikan wirid harian :
“Katakanlah Ya Allah pemilik kekuasaan (kerajaan) alam buana. Engkau memberi kekuasaan kepada sesiapa yang Engkau suka. Engkau merampas kekuasaan itu dari siapa sahaja yang Engkau mahu”.
Mungkin suasananya hampir sama dengan apa yang berlaku sekarang dalam negara kita. Isu berikutnya, mengikut YB Ust Mujahid lagi, krisis kepimpinan yang berlaku terhadap parti utama yang mentadbir negara ini perlu diberi perhatian serius. Memang benar apa yang disebutkan itu. Bukanlah untuk menambah burukkan lagi keadaan, tetapi apa-apa perkara yang boleh menjejaskan kepentingan negara, kita sebagai rakyat perlu bangkit menyuarakan hak. Tambahnya lagi, mana mungkin sesebuah organisasi yang mempunyai masalah mampu memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap pentadbiran negara yang lebih besar. Tentu sahaja akan mendatangkan kesan yang tidak baik terhadap perjalanan dasar kerajaan.
Untuk itu, sebagai seorang yang melihat kekuatan terletak sebenarnya pada Islam, maka peluang yang ada sekarang ini perlu digunakan sepenuhnya. Kita perlu yakin, apa sahaja perkara yang didasarkan atas prinsip dan pegangan Islam tidak mustahil akan diberikan kemenangan dengan syarat mestilah bertakwa sepenuhnya kepada Allah swt. Inilah janji Allah yang memberikan furqan kepada hamba-hambanya yang bertakwa. Firman Allah swt :
“Wahai orang-orang yang beriman! Sekiranya kamu bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan memberikan furqan iaitu kemampuan untuk membezakan antara yang hak dengan yang batil kepadamu dan menghapuskan segala kesalahanmu dan mengampuni dosa-dosamu. Allah memiliki kurnia yang besar”. (Surah Al-Anfal:29)
Semua kita mempunyai peranan masing-masing dalam melangsungkan kemenangan Islam di negara ini. Seorang rakyat biasa tentu sahaja tidak sama peranannya sebagaimana layaknya seorang ahli Perlimen atau Menteri Besar. Demikian juga halnya manakan sama peranan seorang ahli biasa dengan mereka yang berada pada saf kepimpinan (tapi ahli biasa yang kadang-kadang lebih hebat mengata pimpinan memang sentiasa ada). Namun, tanggungjawab tersebut adalah berdasarkan pada peringkat kemampuan masing-masing. Bagi seorang pelajar, kesedaran terhadap Islam boleh ditanamkan melalui persatuan yang disertai. Begitu juga dengan mahasiswa atau mahasiswi, menggunakan segala bentuk ruang yang ada bagi membantu menyebarkan paham Islam dalam kalangan masyarakat. Jika dalam keluarga pula, abang dan kakak member kefahaman kepada adik-adiknya bukan hanya beban tanggungjawab kepada ibu bapa.
Begitulah pada setiap apa pun peringkat, ada peranan yang boleh dilaksanakan dalam membantu tertegaknya suatu bentuk cara hidup Islam. Bukan hanya sekadar menunggu dan mengharapkan bilakah 16 September akan berlaku walaupun ia sebenarnya semakin hampir. Hadis Nabi saw yang bermaksud :
“Setiap kamu adalah pengembala, dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang berada di bawah jagaan kamu”.

Semoga dengan usaha yang bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam membantu perjuangan Islam akan memberikan kita satu lagi khabar gembira dalam masa yang terdekat ini. Salam muwajahah silmiah.
Istiqamah dengan Kebenaran
Inilah yang disebutkan dalam suatu hadis dari Abu Sufian bin Abdillah RA katanya:
“Aku pernah bertanya kepada Rasulullah saw. Wahai Rasulullah, katakanlah kepada saya berkenaan dengan Islam perkataan atau ucapan yang jelas dan yang tidak perlu lagi saya bertanya kepada orang lain”. Rasulullah saw bersabda : “Katakanlah aku beriman kapada Allah kemudian beristiqamah”.
Mungkin saya tidak begitu mengenali sahabat ini. Sempat juga bersama dalam organisasi sebagai AJK Surau Al-Irfaan KML itupun dalam masa yang singkat sahaja. Namun, saya dapat menilai berdasarkan hadis di atas bahawa sahabat ini telah berjaya istiqamah dengan kebenaran. Memang tidak salah lagi kerana semasa hayat sahabat ini sehinggalah menghembuskan nafas yang terakhir, masih lagi istiqamah dengan jemaah Islam yang benar.
Perkara penting sekarang, adakah kita mampu terus istiqamah dengan kebenaran sebagaimana sahabat tadi? Istiqamah sehinggalah bertemu semula kepada Pencipta?
Hadis yang saya sebutkan tadi memberi pengajaran yang sangat besar kepada kita yang masih hidup di dunia ini. Tuan Guru Nik Aziz dalam satu tazkirahnya menyatakan berpegang dengan agama yang istiqamah inilah yang akan menentukan kejayaan kita di dunia dan akhirat. Allah swt turut perintahkan kita agar istiqamah mengikut jalan yang betul bahkan juga diperintahkan kepada nabi-nabi suatu ketika dahulu. Ia berdasarkan firman Allah swt :
“Maka beristiqamahlah engkau sebagaimana engkau diperintahkan”. (Surah Hud:112)
Untuk istiqamah dengan kebenaran, mestilah tunduk dan patuh kepada segala perintah dan ketetapan Allah swt. Menjaga setiap tindakan kita sama ada dalam hal yang berkaitan dengan ibadat, hubungan sesama makhluk ataupun terhadap diri sendiri. Semua itu mestilah dipandu dengan kebenaran barulah tidak ada perkara yang menyimpang sehingga tercatat satu lagi dosa dalam buku amalan kita.
Bagi sahabat-sahabat yang sedar pentingnya terus istiqamah dalam melaksanakan kebenaran dan menyampaikan risalah agama, teruskankanlah dengan keyakinan itu. Jangan sesekali jemu dalam beramal kerana sudah menjadi lumrah bagi mereka yang mahu mendapat tempat yang baik di sisi Allah menerima ujian yang tidak disangka-sangka dari arah mana ia datang. Seseorang yang yakin dan percaya kepada Allah swt sudah tentulah menganggap semua itu sebagai suatu tarbiyah dalam menguji ketahanan jiwa. Teruskanlah apa yang diperjuangkan sahabat kita yang telah pergi ini kerana sudah pasti sahabat ini juga menanti-nanti kehadiran kita untuk menyertainya di alam yang kekal abadi bila sampai waktunya.
Terakhir ini, saya sampaikan kepada semua kejayaan yang akan diperoleh bagi mereka yang tetap istiqamah dengan kebenaran. Ia merupakan janji Allah swt yang telah tercatat di dalam Al-Quran sejak sekian lama. Semoga ia menjadi pembakar semangat kepada kita untuk terus berada dalam saf pejuangan yang benar-benar diredai Allah swt. Firman Allah swt :
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, Tuhan kami ialah Allah kemudian mereka itu beristiqamah, mengikut jalan yang betul dan tetap di atas jalan yang betul, turun kepada mereka malaikat-malaikat Allah, ketika menghadapi kecemasan terutama kecemasan di saat menghadapi maut, malaikat turun memberi semangat kepadanya, malaikat itu berkata, janganlah kamu takut dan berduka-cita, bergembiralah dengan syurga yang dijanjikan kepada kamu, kamilah yang menjadi teman-teman kamu dalam kehidupan dunia dan dalam kehidupan akhirat”. (Surah Fusshilat:30-31)
Samalah-samalah kita doakan agar roh sahabat kita dicucuri rahmat dan segala amal kebajikan yang dilakukan selama ini diterima oleh Allah swt. Salam muwajahah silmiah.





