Hijraturrasul saw. adalah sebuah perjuangan yang bertatahkan pengorbanan suci demi menegakkan kedaulatan Islam di bumi Madinah . Suatu hijrah dari lembah yang penuh dengan kekejaman dan kezaliman kepada suatu destinasi yang akan dibina padanya tamadun manusia yang berasaskan hidayah dan wahyu Allah swt.
Mereka yang melakukan hijrah ini ( demi menegakkan Kedaulatan Islam ) mendapat penghormatan mulia daripada Allah Azza Wa Jalla . Firman Allah :
Dan sesiapa yang berhijrah pada jalan Allah (untuk membela dan menegakkan Islam), nescaya ia akan dapati di muka bumi ini tempat berhijrah yang banyak dan rezeki yang makmur; dan sesiapa yang keluar dari rumahnya dengan tujuan berhijrah kepada Allah dan RasulNya, kemudian ia mati (dalam perjalanan), maka sesungguhnya telah tetap pahala hijrahnya di sisi Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Surah An Nisa’ . Ayat : 100
PENGORBANAN .
Sejarah Hijraturrasul saw. diwarnai pengorbanan demi pengorbanan para sahabat rhm. yang lahir dari hati suci , demi kecintaan mereka kepada Islam dan kedaulatannya . Mereka mempertaruhkan seluruh kepentingan duniawi dan peribadi mereka demi ketuanan agama Allah swt.
PENGORBANAN 1 : MENINGGALKAN ANAK DAN ISTERI
Antara mereka yang melakar sejarah gemilang dalam peristiwa Hijraturrasul ini ialah Abu Salamah rha. Beliau antara angkatan pertama yang melakukan hijrah . Apabila beliau memulakan langkah hijrah bersama anak dan isterinya, tiba – tiba mereka dihalang oleh keluarga Ummu Salamah dan Ummu Salamah bersama anaknya ditahan . Abu Salamah terpaksa berhijrah tanpa Isteri dan anak tersayang .
Ummu Salamah rha. pula menghadapi tekanan berat ini dengan menangis pagi dan petang , sehinggalah meraih simpati ahli keluarganya dan akhirnya Ummu Salamah bersama anaknya dibenarkan untuk mengikuti jejak langkah suaminya Abu Salamah ke Yathrib ( Madinah Al Munawwarah ) yang mana jaraknya ialah 500 kilometer .
PENGORBANAN 2 : MENINGGALKAN HARTA BENDA
Suhaib Ar Ruumi rha. ditahan dalam satu sekatan jalan yang dilakukan oleh kuffar musyrikin yang cuba menggagalkan misi hijrah . Kuffar Musyrikin menempelak sikap Suhaib Ar Ruumi yang berhijrah meninggalkan Makkah bersama dengan harta kekayaan yang dicari di bumi Makkah sementara beliau dulunya datang sehelai sepinggang dari Ruum .
Suhaib Ar Ruumi dengan tegas meninggalkan semua harta yang dituntut asal saja ia dibenarkan berhijrah . Lalu ia berhijrah sehelai sepinggang sebagaimana dulunya ia datang ke bumi Makkah . Peristiwa ini mendapat perhatian daripada Allah swt. dengan turunnya wahyu , ayat 207 dari surah Al Baqarah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas rha.
Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredaan Allah semata-mata; dan Allah pula Amat belas-kasihan akan hamba-hambanya.
Sementara Baginda Rasul saw. pula memberikan penghormatan kepada Suhaib dengan bersabda : ربح صهيب sebanyak 3 kali . Suatu kenyataan yang bermaksud untunglah langkah yang diambil oleh Suhaib Ar Ruumi rha.
PENGORBANAN 3 : MENGHADAPI SUASANA YANG SANGAT GETIR
‘Iyash bin Rabi’ah sejurus sampai ke Quba , tiba – tiba datang saudara seibunya , Abu Jahal dan Al Harith untuk memujuk agar Iyash pulang semula kepangkuan ibu mereka . Kononnya ibu mereka bersumpah , tidak akan menyikat rambut dan tidak akan keluar kepada cahaya matahari sehinggalah ia melihatmu pulang kepangkuannya .
Iyash berada dipersimpangan dan menjadi kasihan kepada ibunya , sementara Omar Al Khattab rha. pula segera menasihati Iyash , bahawa semua ini adalah tipu helah kuffar musyrikin untuk melemahkan semangat hijrah . Namun Iyash tetap mahu pulang kepangkuan ibunya . Apabila tiba di pertengahan jalan , Abu Jahal dan kuffar Musyrikin segera memberkas Iyash lalu diseret pulang ke Makkah dalam keadaan diberkas dan diikat dengan tali.
Iyash diperlakukan sekehendak rasa oleh puak kuffar Musyrikin tersebut .
Ibnu Hisyam meriwayatkan , Baginda Rasul saw. sejurus baginda tiba ke kota Madinah berkata kepada sahabat – sahabatnya : Siapakah dikalangan kamu yang sangggup pulang kembali ke kota Makkah untuk membebaskan Iyash bin Rabi’ah dan Hisyam bin Al Ash ( yang juga turun ditahan )
Lalu Al Walid bin Al Walid bangun dengan tegas menggatakan : Dakulah yang akan menjalankan tugas itu ya Rasulullah !
Sejarah mencatatkan kenangan gemilang ini dengan kejayaan Walid ibnul Walid yang berjaya mengharungi bahaya buat kali kedua dan membebaskan Iyash dan Hisham lantas membawa mereka hijrah ke Madinah .
Semua pengorbanan ini , adalah dibayar untuk membeli Daulah Islamiyyah yang bakal ditegakkan di kota Madinah Al Munawwarah .
Hijraturrasul saw. bukan kerana gila kuasa sebagaimana tohmahan golongan kuffar dan orientalis . Sebaliknya hijrah baginda Rasul saw. adalah untuk merampas kuasa dari orang yang “gila” .
Kiranya Baginda Rasul saw. seorang pemimpin yang tamak dan gila kuasa , nescaya terlebih awal baginda menerima tawaran lumayan dari pihak kuffar Musyrikin dan ini tidak memerlukan hijrah yang sarat dengan pengorbanan dan penderitaan .
Rajah sejarah amat jelas meriwayatkan bahawa Baginda saw. menolak semua tawaran kuffar Musyrikin melalui juru rundingnya Utbah bin Rabi’ah yang juga dikenali sebagai Abal Walid. Kandungan tawaran mereka sebagaiamana berikut :
يا ابن أخي إن كنت إنما تريد بما جئت به من هذا الأمر مالا جمعنا لك من أموالنا حتى تكون أكثرنا مالا و إن كنت تريد به شرفـا سوَّدْناك علينا حتى لا نقطعَ أمرا دونَك و إن كنت تريد به ملكا ملكناك علينا و إن كان الذي يأتيك رِئِياًّ تراه لا تستطعُ رَدَّه عن نفسك طلبنا لك أطباءً و بذَلْنا فيه أموالَنا حتى نُبْرِئَك منه .
Maksudnya :
Wahai anak saudaraku , jika sekiranya dakwah yang kamu perjuangkan ini hanyalah kerana kamu mahukan wang , kami bersedia untuk menghimpunkan wang kami untuk kamu dan kamu menjadi orang yang paling kaya dikalangan kami , dan jika kamu mahukan pengaruh ( dengan dakwah yang kamu perjuangkan ini ) , kami sediakan menjadikan kamu tuan kami sehingga kami tidak memutuskan sesuatu urusan tanpa mendapat keputusan daripada kamu , dan jika sekiranya kamu mahu menjadi raja ( dengan dakwah yang kamu perjuangkan ini ) , Kami sedia melantik kamu menjadi raja kami , dan jika sesuatu ( yang membuat kamu terus berjuang ) datang menguasai diri kamu ( gila ) , dimana kamu tidak berupaya untuk membebaskan dirimu , maka sedia membawa doctor pakar untuk kamu dan kami jua bersedia membelanjakan harta kami untuk membiayai kos perubatan kamu sehingga kamu bebas dari pengaruh gila .
SIKAP RASULULLAH SAW.
Inilah wajah politik baginda Rasul saw. Menolak tawaran kuasa autonomi yang ditawarkan ( sungguhpun sangat lumayan ) sebab Baginda Rasul saw. tidak mahu menyertai Kerajaan Barisan Abu Jahal yang masih berbumbungkan Faham Jahiliyyah.
Sebaliknya baginda Rasul saw. mahu menubuhkan kerajaan sendiri dan baginda mempunyai alternatif sendiri untuk mendaulatkan Syariat Allah Azza wa Jalla. ( Inilah langkah , sikap dan prinsip yang wajar dan layak diambil oleh kita dalam perjuangan hari ini .)
PENGORBANAN RASULULLAH SAW. DALAM MISI HIJRAH .
Baginda Rasul saw. sendiri terpaksa mengatur tapak hijrahnya dengan iringan detik – detik cemas dan getir . Bagaimana baginda dikepung , diburu dan diancam sedari awal hingga akhir . Namun kesungguhan baginda untuk menubuhkan Negara Islam ( Daulah Islamiyyah ) di bumi Madinah membuatkan baginda mengambil segala risiko sekalipun terpaksa bersabung nyawa . Inilah perjuangan Rasul Saiyidil Mursalin .
Bermula dengan Persidangan di Darul Nadwah pada 26 Safar th. 14 selepas Nubuwwah bersamaan 12 September 622 Masehi , Kuffar Musyrikin di atas cadangan Abu Jahal , sebulat suara merancang untuk membunuh Rasulullah saw. sebelum baginda meninggalkan bumi Makkah .
Rancangan ini diambil setelah mereka menolak pandangan Abu Al Aswad agar Muhammad dibuang daerah , ( Kerana mereka bimbang pengaruh Muhammad akan melebar ke daerah dimana ia dibuang. ) dan juga setelah mereka mengenepikan pandangan Abu Buktari agar Muhammad dipenjara . (kerana mereka bimbang , pengikut Muhammad akan berhimpun (demontrasi) untuk membebaskan Muhammad)
Mereka telah memilih 11 orang ketua untuk mengetuai rancangan jahat ini . Mereka ialah :
Yb. Dato’ Abu Jahal bin Hisyam
Al Hakam bin Al As
Yb. Uqbah bin Abi Muit
An nadar bin harith
Tan Sri Umaiyah bin Khalaf
Zam’ah bin Al Aswad
Dato’ Taimah bin Adi
YAB Dato’ seri Abu Lahab
Dato’ Paduka Ubai bin Khalaf
Nabih bin Al Hajaj
Munabbih bin Al Hajaj .
· Pangkat – pangkat mereka yang tersenarai ini sengaja diletakkan oleh penulis bagi menggambarkan mereka ini adalah pemimpin Musyrikin yang berpangkat dan berbintang . Wallahua’lam .
Mereka mengatur konspirasi ini dengan penuh licik dan teliti , namun Allah swt. Tuhan Qadhi Rabbul Jalil juga mempunyai strategi untuk menyelamatkan Rasul utusanNya . Allah menyebut dalam firmanNya :
Dan ingatlah (wahai Muhammad), ketika orang-orang kafir musyrik (Makkah) menjalankan tipu daya terhadapmu untukmenahanmu, atau membunuhmu, atau mengusirmu. Mereka menjalankan tipu daya dan Allah menggagalkan tipu daya (mereka), kerana Allah sebaik-baik yang menggagalkan tipu daya.
Surah Al Anfaal . Ayat : 30
· Ibnu Taimiyyah ketika menafsirkan ayat ini mejelaskan bahawa inilah juga 3 tribulasi yang dilalui oleh mereka yang berjuang di atas manhaj An Nabawi . iaitu penjara , bunuh dan buang daerah .
Baginda Rasul saw. sendiri mengatur strategi dengan mengarahkan agar Saiyidina Ali Karramallahu wajhah mengambil alih ranjang baginda pada malam hijrah demi melengah – lengahkan rancangan kuffar Musyrikin .
Detik ini , ummah seluruhnya pula berpeluang menyaksikan bagaimana pengorbanan Saiyidina Ali karramallahu wajhahyang sanggup berkorban dengan kadar pengorbanan yang berisiko tinggi .
Setelah rumah baginda saw. dikepung , dan Saiyidina Ali telah menggambil tempat , baginda saw. keluar menyusur hijrah dengan mengambil sekepal pasir dan dibacanya ayat :
lalu pasir itu ditabur ke arah komando dan pemuda tahan lasak yang mengepung rumah baginda saw. Akhirnya semua tertidur dan baginda saw. melangkah bergaya untuk meneruskan
misi agong guna mendaulatkan Syariat Ilahi .
ALLAH SWT. MENGGAGALKAN KONSPIRASI MUSUH
Setelah kuffar musyrikin menyedari, baginda Rasul saw. telah lolos dari kepungan mereka, tindakan memburu baginda dilancarkan dengan lebih gigih dan nekad. Namun taqdir Allah Azza wa Jalla mengatasi tadbir mereka.
Melalui rekod sejarah ( dengan beberapa detik peristiwa ), kita dapat melihat pertolongan ( Nusrah dan Mau’nah ) Allah berpihak kepada Rasul saw. dan ummatnya, yang tabah mengharungi penderitaan, sabar melangsungkan perjuangandan thabat mendepani cabaran .
PERISTIWA 1: KEPUNGAN DI GUA THUR.
Tanggal 2 Rabiul Awwal, 13 tahun selepas Nubuwwah, baginda Rasul saw. dan Saiyidina Abu Bakar mengambil langkah untuk berhenti di Gua Thur selama 3 malam ( Malam Jumaat, Sabtu dan Ahad ).
Semasa baginda Rasul saw. berada di dalam gua tersebut, Abdullah bin Abu Bakar telah diamanahkan sebagai penyampai maklumat kepada baginda, sementara Amir Fuhairah pula berfungsi sebagai pembekal makanan dan minuman serta bertugas untuk menghilangkan kesan tapak kakinya dan juga Abdullah bin Abu Bakar dengan menggunakan kumpulan kambing peliharaannya.
Baginda Rasul saw. dan Saiyidina Abu Bakar akhirnya terkepung setelah kuffar musyrikin tiba di mulut gua tersebut dan detik ini sangat cemas dan membimbangkan Abu Bakar rha. setelah menyaksikan kehadhiran tentera kuffar yang lengkap bersenjata.
Abu Bakar rha. segera melahirkan kebimbangan beliau kepada baginda Rasul saw. Kebimbangan ini membuatkan baginda Rasul saw. tegas bertitah : “Janganlah kamu bimbang dan gundah gulana atau resah gelisah kerana Allah swt. bersama dengan kita”. Kenyataan ini dirakam oleh Allah swt. didalam al quran :
Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: "Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita". Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
Surah At Taubah. Ayat : 40
Apabila Saiyidina Abu Bakar rha. yakin bahawa Allah swt. bersama mereka justeru hijrah mereka adalah bertujuan untuk mendaulatkan Syaria’t Allah swt. ( bukan untuk makan angin, mengintai peluang perniagaan, atau semata – mata mengembara tanpa tujuan ) maka Allah swt mengurniakan 2 kurniaan yang sangat penting bagi perjuangan baginda saw. yang mahu mendaulatkan Syari’at Allah swt. di mukabumi ini.
2 kurniaan itu ialah :
· Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad)
· dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya.
· Ketenangan sangat penting bagi seorang pejuang dalam mengurus dan mengatur langkah perjuangan suci ini. Kepentingan paling minima ialah hati yang tenang dan tenteram tidak akan memandang musuh sebagai suatu yang menakutkan mereka, sehingga sukar kaki mereka melangkah kehadapan.
Kehadhiran musuh sekalipun dalam jumlah yang ramai ( majority ) dan kekuatan yang paling maksimum, tidaklah membuatkan mereka gentar dan takut, malah iman mereka semakin bertambah dan penyerahan diri mereka kepada Allah swt. makin meyakinkan.
Lihatlah aksi orang – orang yang beriman sebagaimana yang dirakam oleh Al quran :
Dan pada masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:" Inilah yang telah dijanjikan Allah dan RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya". Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman dan penyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
Surah AL Ahzaab. Ayat : 22
· Sementara tentera bantuan yang tidak kelihatan ( atau tak disangka kehadhirannya sebagai tentera yang akan mengalahkan musuh ) menjadi kurniaan Allah swt. yang sangat bernilai untuk menghukum keangkuhan dan kesombongan musuh yang berpunca dari kuasa dan pengaruh yang ada pada mereka.
Peristiwa hijrah ini menyaksikan kesombongan dan keanggkuhan kuffar musyrikin diperbodoh dan dipersiakan oleh Allah swt. dengan menghantar labah – labah dan burung merpati membuat sarang di muka gua dan ini menyangkal sangkaan musuh bahawa Nabi Muhammad saw. berada didalam gua tersebut dan membuatkan mereka pulang dalam keadaan bingung tidak keharuan.
Bukan sekali dan bukan dua kali orang – orang yang sombong dan angkuh dengan kuasa dan pengaruh yang mereka miliki ini diperbodoh oleh Allah swt.
Tanyalah sejarah, bagaimana Allah swt., Tuhan yang Maha Perkasa lagi Maha Gagah telah mengajar seorang Raja Zalim dictator yang memerintah dunia , iaitu Namrud A’laihi Laknatullah yang akhirnya mati penuh derita dan sengsara apabila Allah swt. menghantar seekor nyamuk untuk menyerang dan membunuhnya.
Begitu pula Firaun A’laihi Laknatullah yang pernah mengaku diri sebagai tuhan yang maha tinggi, sombong dan angkuh dengan keupayaannya membina pyramid dan menguasai rakyatnya dengan kekuatan tentera yang kuat dan ramai. Akhirnya Allah swt. dengan keagongannya telah menenggelamkan Firaun di tengah – tengah Laut Merah dan akhirnya mati lemas dalam keadaan yang sangat hina.
Tentera Abrahah dengan semangat yang dikuasai oleh hasad dan dengki untuk menghancurkan Kaabah Al Musyarrafah, angkuh dan sombong dengan kehebatan tentera bergajahnya.
Tiba – tiba mereka dihancurkan oleh Allah swt. dengan serangan burung Ababil yang melontarkan batu dari neraka Sijjil sehingga setiap tentera yang terkena lontaran batu tersebut akan terus hancur sebagaimana daun kering yang dimakan ulat.
Detik – detik peristiwa tersebut menjadi keterangan yang sangat jelas bahawa kesombongan dan keangkuhan manusia yang menentang agama Allah swt. pasti tersungkur ke bumi. Allah swt. sendiri bertindak menghapuskan mereka dengan penuh sengsara dan derita tanpa campur tangan manusia.
Lihatlah bagaimana Namrud mati, ianya bukan ditikam atau dipukul oleh Nabi Allah Ibrahim a.s, begitu juga Firaun terbunuh, ianya bukan dipukul oleh Nabi Musa a.s, tetapi Allah sendiri bertindak dengan keagongannya demi membuktikan kepada ummah sepanjang zaman, bahawa Allah swt. pasti akan mengajar dan menghukum mereka yang sombong dan angkuh.
PERISTIWA 2: DIBURU OLEH SURAQAH BIN MALIK.
Antara detik yang mencemaskan dalam peristiwa hijraturrasul ini ialah ancaman dari seorang pembunuh upahan yang bernama Suraqah bin Malik yang mendapat tawaran lumayan ( 100 ekor unta ) untuk membawa pulang Nabi Muhammmad saw. samaada hidup atau mati.
Suraqah bin Malik adalah seorang pemacu kuda yang tangkas dan pemanah yang cekap. Berbekalkan kemahiran dan semangat untuk menghalang hasrat penubuhan Negara Islam, Suraqah memburu Nabi kita Muhammad saw. dan hampir sahaja ia berjaya.
Namun Allah swt. sekali lagi menghukum manusia lemah yang sombong dan angkuh ini dengan satu penghinaan yang sangat memalukan. Bagaimana Suraqah bin Malik seorang pemacu kuda yang tangkas di padang pasir, tiba – tiba gagal mengawal dan menguasai kudanya sebaik sahaja ia ingin melepaskan anak panahnya ke arah Nabi Muhammad saw.
Kaki kudanya terperosok masuk dalam pasir dan terus rebah menyungkur ke bumi. Suraqah dengan semangat membara untuk memperolehi tawaran lumayan, kembali bangkit untuk meneruskan misi dan tugasnya membunuh Nabi saw. Namun peristiwa tadi berulang buat kali kedua apabila Suraqah terus jatuh ke bumi bagaikan sianak yang lumpuh tidak bermaya.
Peristiwa yang sama berulang sebanyak 3 kali dan akhirnya melemahkan semangat Suraqah bin Malik untuk meneruskan misinya. Dalam situasi yang sedemikian ( disaat Suraqah masih kebingungan memikirkan apa yang terjadi ) Nabi saw. menghampiri beliau lalu membuat tawaran yang jauh lebih lumayan daripada apa yang telah ditawarkan oleh kuffar jahiliyyyah kepada Suraqah bin Malik.
BAGINDA SAW. SANGAT OPTIMIS BAHAWA ISLAM PASTI MENANG
Tawaran lumayan ini hanyalah membuktikan Baginda Rasul saw. sangat optimis bahawa masa depan perjuangan Islam dan hasrat penubuhan Negara Islam di Madinah Al Munawwarah sangat cerah. Bukan sahaja Islam akan menang dan Negara Islam dapat ditubuhkan, malah kuasa besar dunia Parsi dan Rom akan tumbang membaham tanah.
Sikap optimis ini dapat dilihat apabila Nabi saw. menawarkan gelang Maharaja Parsi kepada Suraqah bin Malik sedang Parsi ketika adalah negara kuasa besar dunia yang sangat kuat dan gagah, sementara Nabi saw. pula tanpa kuasa, kerajaan dan tentera.
Optimistik membekalkan semangat yang tabah dan Istiqamah yang utuh untuk terus melangkah membelah badai perjuangan. Ia adalah aqidah perjuangan yang mesti dimiliki oleh setiap pejuang yang ingin memastikan perjuangannya memperolehi kejayaan.
Sikap inilah antara rahsia kejayaan baginda Rasul saw. dan para sahabatnya dalam usaha mereka mendaulatkan syaria’t Allah swt. Sikap inilah juga yang menyaksikan kejatuhan Parsi dan Rom ( kuasa besar dunia ) ditangan Saiyidina Omar Al Khattab rha. sebagai satu kenyataan dan membenarkan tawaran Nabi saw. kepada Suraqah bin Malik.
Saiyidina Omar Al Khattab rha. memanggil Suraqah lalu berkata :
الحمد لله الذي سَـلَبَهُما كِسرى بن هُرمُذ الذي كان يقول أنا ربُّ الناسِ
و ألبَسَهُما سُراقةَ ابن مالك
Segala puji bagi Allah swt. yang telah merampas keduanya ( gelang Maharaja Parsi ) dari Kisra bin Hurmuz yang pernah mendakwa Akulah tuhan manusia, dan dipakaikan keduanya kepada Suraqah bin Malik.
Kejayaan perjuangan untuk menegakkan Negara Islam banyak bergantung kepada keyakinan bahawa Islam pasti menang( dalam peristiwa Suraqah bin Malik ) dan Allah tetap bersama dengan kita. ( dalam peristiwa di Gua Thur ) 2 perkara ini sangat penting justeru ia menjadi motivasi dalaman buat diri seorang pejuang untuk meneruskan perjuangan yang serba sukar dan payah ini.
Hijraturrasul saw. mendhohirkan sifat dan sikap seperti ini untuk diambil iktibar oleh seluruh ummat Islam di sepanjang zaman dan di situasi apa sahaja mereka berada.
Selama mana perjuangan kita mengikut rentak Nabi Muhammad saw., maka kita pasti mencapai kemenangan. Bila ? itu menjadi urusan Allah swt. Tanggungjawab kita teruskan perjuangan ini.
Kertas Kerja : Ust. Nasrudin At-Tantawi.
2 comments:
salam tukang seru,
salam maal hijrah.
Salam maal hijrah kembali abah aman...syukran atas lawatan, moga terus berukhuwafillah berpanjangan:)
Post a Comment