KENYATAAN AKHBAR
SURUHANJAYA PILIHAN RAYA (SPR), MALAYSIA
BIL.17/2008
PAMERAN RANG DAFTAR PEMILIH TAMBAHAN
SUKU TAHUN KETIGA 2008
1. Dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Ketiga (Julai hingga September) 2008, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia telah menerima sebanyak 24,531 permohonan pendaftaran sebagai pemilih baru dan sebanyak 6,200 permohonan untuk pertukaran alamat pusat mengundi daripada pemilih yang sedia berdaftar dengan SPR.
2. Selaras dengan kehendak Peraturan 13(5A), Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan bagi Suku Tahun Ketiga 2008 akan dipamerkan mulai 28 Oktober hingga 03 November 2008 di 985 tempat pameran di seluruh Negara seperti berikut:
2.1 Pejabat Pilihan Raya Negeri - 14 tempat
2.2 Pejabat Pos Berkomputer - 431 tempat
2.3 Kompleks/Pejabat Kerajaan - 100 tempat
2.4 Pejabat Daerah/Pejabat Tanah- 162 tempat
2.5 Majlis Daerah/Perbandaran - 44 tempat
2.6 Dewan Serbaguna/ Rukun
Tetangga/Balai Raya/Penghulu/
Dewan - 207 tempat
2.7 Lain-lain tempat - 27 tempat
____________
Jumlah - 985 tempat
____________
3. Sehubungan dengan itu, mana-mana warganegara Malaysia yang baru memohon menjadi seorang pemilih atau mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon untuk pertukaran alamat pusat mengundi adalah dinasihatkan supaya menyemak Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 yang dipamerkan itu. Dalam hal ini, mana-mana warganegara yang baru mendaftar sebagai pemilih tetapi mendapati nama mereka tidak tersenarai di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 itu bolehlah membuat tuntutan dengan menggunakan Borang B. Borang tuntutan tersebut hendaklah diserahkan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 itu dipamerkan.
4. Bagi mana-mana pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 bagi satu-satu bahagian pilihan raya itu bolehlah membuat bantahan tersebut dengan mengisi Borang C. Borang bantahan itu hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar, iaitu Pengarah Pilihan Raya Negeri masing-masing dalam tempoh 7 hari dari tarikh Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008 itu dipamerkan.
5. Selain daripada mempamerkan nama-nama pemilih baru dan nama-nama pemilih berdaftar yang memohon untuk bertukar alamat pusat mengundi, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih. Asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada Daftar Pemilih ialah kerana mereka ini didapati telah meninggal dunia, lucut hak warganegara, telah bersara daripada Angkatan Tentera/Polis yang bermakna mereka telah hilang kelayakan sebagai seorang pemilih pos dan sebagainya.
6. Di sini juga SPR ingin memaklumkan kepada umum untuk memohon kerjasama orang ramai mengenai perkara berikut:
6.1 Pembersihan Daftar Pemilih
SPR ingin memaklumkan bahawa dalam usaha untuk membersihkan daftar pemilih daripada senarai nama pemilih berdaftar yang telah meninggal dunia, SPR memohon kerjasama mana-mana waris untuk menghantar salinan sijil kematian atau permit mengubur waris-waris mereka yang telah meninggal dunia kepada SPR. Waris-waris bolehlah menghantar salinan tersebut secara pos atau faks ataupun datang sendiri ke mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri ataupun ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.
6.2 Penyemakan Daftar Pemilih
Pemilih berdaftar adalah digalakkan untuk menyemak Daftar Pemilih Induk 2007 bagi tujuan membuat pembetulan ke atas apa-apa kesilapan pendataan dari segi ejaan nama, nombor kad pengenalan, jantina, nombor rumah pemilih dan sebagainya yang dilakukan oleh SPR secara tidak disengajakan, jika ada. Sekiranya terdapat sebarang kesilapan pendataan, pemilih bolehlah membuat pembetulan dengan menghantarkan pembetulan tersebut ke alamat e-mel: info@spr.gov.my atau menulis surat atau datang sendiri ke mana-mana Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri atau ke Ibu Pejabat SPR di Putrajaya.
6.3 Pemilih Bertukar Alamat
Bagi pemilih berdaftar yang sudah bertukar alamat tempat bermastautin mereka adalah digalakkan untuk membuat permohonan pertukaran alamat pusat mengundi bagi membolehkan mereka mengundi di sesuatu pusat mengundi yang lebih dekat dengan tempat kediaman masing-masing.
7. Jika mana-mana pihak ada apa-apa pertanyaan lanjut mengenai perkara ini, sila hubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-88856500 atau melalui Faks 03-88889117 atau menghubungi mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri. Orang ramai juga boleh melayari laman web SPR di http://www.spr.gov.my untuk semakan Rang Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Ketiga 2008.
Sekian, terima kasih
(SABRI BIN SAID)
Pegawai Perhubungan Awam
b.p Setiausaha
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Semakan Daftar Pemilih Terbaru 2008
Posted by
TUKANGSERU
|
Tuesday, October 28, 2008
|
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 comments:
Post a Comment